Powered By Blogger

Saturday, 21 July 2012

RAMADAN DI HATIKU

LAILATUL QADAR




pernahkah anda mendengar istilah lailatul qadar? ianya malam seribu satu malam. ramai umat islam merebut untuk mendapat malam tersebut. tapi sejauh mana kita mengadaptasi perkara tersebut dalam hidup kita? mari kita mendalami apa itu lailatul qadar



LAILATUL Qadar adalah malam yang berlaku pada Ramadan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran, iaitu pada surah al-Dukhan dan al-Qadr.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan, ayat 2)
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr, ayat 1)
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.
Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu. Firman Allah bermaksud: “Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)
Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah menurunkan malam al-Qadar untuk umat Muhammad.
Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.
Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam.Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.
Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar keranapada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.
Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.
Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.
Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”
Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.
Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri dipetik dari - http://aura-hikmah.blogspot.com/2011/08/hikmah-lailatul-qadar.html


TANDA-TANDA MALAM LAILATUL QADAR

Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu
malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie
r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang
menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga
Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada
malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan
ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira
dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada
hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29. Jika
bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27
dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25
Ramadan. Sekiranya awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada
hari ke-23 dan jika awal puasa pada Isnin, seperti tahun ini, maka
Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21. Demikianlah kaedah yang
diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas
beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan
menggunakan kaedah ini''. 

Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu
sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup
lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit
agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan
macam-macam lagi. Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam
Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar
juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari
yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu
bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya
bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia
pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar 

Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan
terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari
saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara
diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan.
Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah